Suatu hari dia masuk ke bilik Bawang Merah.
“Sungguh-sungguhkah kau sayangkan suamimu?” tanya Mak Bawang Putih kepada Bawang Merah.
“Kenapa Mak Cik tanya begitu? Takkan saya tidak sayang kepada suami!” jawab Bawang Merah.
“Begini, sebenarnya engkau ini tidak layak menjadi permaisuri kerana tidak berketurunan raja!”
“Benar kata makcik itu. Habis apa saya harus buat?”
Lalu diberi sebungkus miang buluh. Miang buluh itu disuruh tabur di seluruh tempat tidur baginda.
“Dengan cara ini baginda akan merasa sangat sayang kepada engkau dan baginda akan lupa sama sekali tentang keturunan engkau,” kata Mak Bawang Putih. “Tetapi jangan beritahu yang Mak Cik suruh berbuat begitu,” pesannya lagi.
Malam itu baginda hendak beradu. Oleh kerana terasa hangat, baginda membuka baju lalu merebahkan diri di atas katil.
“Aduh gatalnya! Miang rasanya. Apakah benda ini?”
“Kenapa kanda?” tanya Bawang Merah terperanjat.
“Apa yang adinda tabur di tempat tidur kanda ini?”
“Dinda tabur miang buluh untuk mengeratkan lagi ikatan kasih sayang kita berdua.”
“Dinda, dinda! Kenapalah dinda bodoh sangat!” keluh baginda sultan.
Di hari lain pula, Mak Bawang Putih masuk lagi ke bilik Bawang Merah untuk menghasut.
“Bagaimanakah miang buluh yang makcik suruh engkau tabur itu?”
“Saya telah lakukan dan nampaknya baginda murka juga tetapi tidak berpanjagan.”
“Ini menandakan yang petua ini mulai berjaya kerana kalau baginda betul-betul murka, tentu dihalaunya engkau,” kata Mak Bawang Putih. “Ada sejenis lagi ubat kasih sayang yang engkau mesti lakukan terhadap baginda.”
“Saya tidak mahu lagi makcik. Saya takut baginda murka!”
'Jangan jadi bodoh Bawang Merah. Selagi engkau tidak lakukan yang ini, kasih sayang engkau tidak akan berpanjangan.”
Mak Bawang Putih berbisik kepada Bawang Merah. Bawang Merah terperanjat mendengarnya.
“Tidak makcik! Saya tidak mahu melakukannya!”
Mak Bawang Putih terus juga memujuk. Akhirnya Bawang Merah termakan pujuk. Dia pun mula melakukan apa yang diajar oleh Mak Bawang Putih itu.
Dia mengambil sebilah kapak yang tajam. Digantung hulunya di atas palang pintu. Sebaik sahaja baginda membuka pintu, dia akan menghayun mata kapak itu. Sudah tentu akan mengena dahi baginda.
Tidak lama lagi baginda akan masuk bilik. Bawang Merah bersedia dengan kapak yang tergantung itu. Baginda pun masuk. Kapak dihayun.
“Aduh kenapa ini dinda?” baginda berteriak kesakitan.
“Kanda!” Bawang Merah menerkam. Darah keluar dari dahi baginda akibat terkena mata kapak.
“Apakah yang dinda lakukan ini?” tanya baginda kehairanan.
“Untuk mengekalkan hubungan kasih sayang kita berdua!”
“Siapa yang mengajar semua ini?”
“Mm..Mm..Mak Bawang Putih.”
Mak Bawang Putih disuruh menghadap baginda. Oleh kerana niat jahatnya itu masih tidak dihentikan, baginda menghalau Mak Bawang Putih dan anaknya Bawang Putih keluar dari istana.
Maka dari itu terpaksalah mereka berdua bekerja semula untuk menyara hidup mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila Tinggalkan Komen Anda Disini